Wednesday 6 February 2013

40 Perwakilan Menghadap Abu Talib





Mesyuarat berakhir dengan satu keputusan bersama – hantar perwakilan bertemu Abu  Talib. Campur tangan Abu Talib boleh membantu mengawal keadaan. Sekurang-kurangnya mengubah sedikit senario yang sedang berlaku setiap hari; perkembangan yang sangat membimbangkan.

Kenapa tidak sedari dahulu mereka berbuat sesuatu? Kenapa semasa Abu Lahab sedang bersemangat menunjukkan kegilaannya dahulu, mereka tidak turut ikut serta? Bukan kecil dendam dan benci Abu Lahab sehingga menyuruh kedua-dua anak lelakinya menceraikan isteri masing-masing.

Jangan ada lagi pertalian yang mengikatnya dengan orang yang sudah dianggap musuh, sekalipun anak saudara sendiri. Lebih rela anak-anaknya menduda daripada membiarkan mereka dipengaruhi bapa mentua yang tidak henti-henti menghina dan merendah-rendahkan berhala-berhala sembahan kaumnya.

Sepatutnya demikianlah juga yang mereka buat dahulu. Atau setidak-tidaknya menjadi orang di belakang tabir; baling batu sembunyi tangan. Sekarang setelah kedudukan dan pengaruh tercabar, baru terbelalak mata. Baru terkial-kial hendak bertindak menyekat kemaraan gerakan anak saudara Abu Talib itu.

Tidak banyak yang memberi ulasan semasa komentar pedas ini dibangkitkan dalam sidang mesyuarat. Barangkali menyedari kesilapan sendiri. Tidak menyangka gerakan yang dibuat secara kecil-kecilan kini telah pun mengumpul pengikut yang ramai. Bukan daripada kasta bawahan sahaja, ada juga beberapa orang yang dihormati kedudukannya di kota Makkah.

Terkejut Abu Talib menerima kedatangan tetamu yang ramai, sekitar 40 orang. Abu Jahal bin Hisyam, ‘Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Al-Walid bin Mughirah serta beberapa orang lagi barisan kepimpinan utama pun ada serta.

Dalam sedikit gusar Abu Talib seperti dapat meneka tujuan kunjungan rombongan orang-orang besar itu. Hanya dibiarkan mereka sendiri meluahkan maksud gerangan. Dia sudah bersedia menjadi pendengar setia.

Melalui seorang jurucakap, 40 orang perwakilan Quraisy itu mempersembahkan hajat kepada Abu Talib, “Tuan, anak saudara tuan sudah menghina tuhan-tuhan kami. Mencela agama kami dan merendah-rendahkan pemimpin kami.”

Abu Talib tenang sahaja. Benar telahannya. Rombongan besar itu membawa khabar mengenai anak saudaranya.

“Anak saudara tuan juga mengatakan orang-orang tua kami sesat. Kami minta tuan melakukan satu antara dua; sama ada tuan menegah pekerjaannya itu ataupun tuan biarkan sahaja kami menghadapinya,” sambung jurucakap itu lagi. “Lagipun kami tengok tuan seperti kami juga, tidak mengikuti apa yang dibawanya.”

Kali ini Abu Talib berasa terusik sedikit. Ada berbau ancaman dalam permintaan yang diajukan. Namun dia tidak boleh melatah, meski hatinya tidak suka dengan salah satu daripada dua pilihan yang ditawarkan itu. Mustahil dia tergamak membiarkan anak saudaranya diapa-apakan.

Dalam pertemuan seluruh ahli keluarga Bani Hasyim dan Bani al-Mutalib dahulu, dia telah berjanji akan sentiasa membela dan mempertahankan anak adiknya itu. Malah sudah dianggap sebagai anak sendiri selepas hak penjagaan dipindahkan kepadanya seusia anak saudaranya itu masih kanak-kanak lagi.

Janji yang tidak pasti
“Begini sahajalah, berilah aku sedikit masa untuk menyelesaikan perkara ini dengan Muhammad,” kata Abu Talib, mengambil jalan tengah. “Aku memahami apa kamu rasakan.” 
Permohonan Abu Talib itu dipenuhi meskipun tidak jelas berapa lama waktu harus digunakannya. Hanya disebabkan ada sedikit harapan terselit di celah-celah janji Abu Talib, mereka tidak mahu mendesak. Tunggu dan lihat sahaja.

“Harapnya selepas ini kita tidak perlu susah-susah lagi. Biar Abu Talib yang uruskan,” kata Abul Bakhtari, seorang daripada peserta rombongan yang juga termasuk dalam barisan kepimpinan Makkah, dalam langkahan yang semakin menjauh meninggalkan rumah Abu Talib.

“Belum tahu lagi,” celah Abu Jahal. “Abu Talib sayang sungguh dengan Muhammad. Sanggupkah dia melukakan hati anak saudaranya itu?”
“Aku tidak mahu fikir yang bukan-bukan,” Syaibah bin Rabiah pula menyampuk. Selama ini kita telah terpedaya dengan kebijaksanaan Muhammad.” 

Utbah bin Rabiah menambah,  Aku hanya mahu tengok Makkah kembali seperti dahulu. Harapnya Muhammad tidak lagi menyebarkan agama barunya itu.”

“Ya, begitulah harapnya. Jangan lagi orang-orang Makkah diganggu anak saudara Abu Talib itu. Rasanya aku tidak nampak mereka mahu membenci Muhammad,” tingkah Abu Jahal, merujuk kegagalan usahanya dan rakan-rakannya dalam satu kempen yang digerakkan sebelum itu. Besar belanja yang dilaburkan dalam misi menghasut orang ramai membenci dan memusuhi anak saudara Abu Talib itu.

Kempen digerakkan atas motif mempertahankan agama nenek moyang agar tidak terus dihina dan direndah-rendahkan. Selain banyak juga alasan lain yang dibangkitkan. Malangnya tidak berjaya meraih sokongan seperti diharapkan.

Barangkali orang ramai lebih menilai pada apa yang mereka lihat; peribadi orang yang diburuk-burukkan itu tidak mendorong mereka untuk berasa benci. Begitu juga dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya.

Sukar untuk membenci orang berketrampilan begitu. Lalu, itulah yang kemudiannya membawa terjadinya pertemuan dengan Abu Talib, satu-satunya individu yang dirasakan boleh membantu membebaskan Makkah daripada pengaruh agama baru.

Abu Talib adalah pembela utama dalam setiap langkah anak saudaranya. Abu Jahal yakin, perkiraan kali ini tepat dan pasti berhasil … sekiranya Abu Talib sanggup bertegas dengan orang yang paling disayanginya. Namun sanggupkah dia? tiba-tiba hati kecil Abu Jahal berbisik.

No comments:

Post a Comment