Berat keluhan Abu Talib, berat
lagi beban dilema yang sedang ditanggungnya. Tersepit dalam situasi yang amat menyukarkan.
Dia perlu memilih satu antara dua – kehendak kaumnya atau kebebasan anak saudaranya. Kalau
membangkang, ertinya dia akan mengecewakan sekali lagi kaumnya.
Dulu mereka pernah menghantar
pengaduan melalui 40 orang perwakilan. Namun Abu Talib tidak berdaya memenuhi
permintaan, meski dia berjanji akan berbuat sesuatu.
Dia tahu, golongan terkemuka kaum
dan orang-orang bangsawan Arab Makkah tidak akan redha dengan caranya. Berdiam
diri tidak akan mengubah apa-apa. Malah menjadikan keadaan semakin tidak
terkawal – jumlah penduduk Makkah yang meninggalkan agama nenek moyang mereka
semakin bertambah. Dan ia mencetus nestapa yang sangat hebat di dalam dada pemuka-pemuka
Quraisy Makkah.
Baru sebentar tadi Abu Talib
merasai kehebatan penangan kemarahan dan nestapa itu. Masih belum berganjak lagi dia dari
duduknya, cuba menenangkan perasaan yang masih berombak. Cemas dan debar saling
bertingkah, membangkitkan getar yang meresahkan. Tak dijangka, begitu sekali
marahnya pemuka-pemuka Quraisy.
Meski tidak dalam intonasi suara
yang keras atau kurang ajar, kedatangan kali kedua
utusan para pembesar Quraisy Makkah menyampaikan keputusan mereka itu cukup membuatkan Abu Talib kelemasan. Tiada tutur yang terlafazkan.
Dia tidak lagi diberi
hak memilih; biarkan orang-orang Quraisy menyelesaikan masalah mereka dengan
cara sendiri. Kerana Abu Talib ternyata tidak mampu membantu mereka. Abu Talib
ternyata terlalu kasih dan sayangkan anak saudaranya. Orang-orang Quraisy tidak
perlukan campur tangan Abu Talib lagi.
Tiada lain yang
diharapkan oleh Abu Talib selain keselamatan anak saudaranya. Hendaknya apa
yang disampaikan kepadanya sekadar ancaman saja. Hendaknya apa yang disampaikan
kepadanya hanyalah ugutan saja. Hendaknya rakanrakannya di kalangan para pemuka
Quraisy tidak berbuat sepertimana yang mereka ucapkan.
Abu Talib bingkas
perlahan dengan dengusan nafas yang masih mengendong resah. Tidak mustahil orang-orang
Quraisy akan betul-betul berbuat, bukan sekadar ugutan kosong. Apa yang sedang
berlaku di hadapan mata Abu Talib sudah cukup membuatkan dia tidak senang duduk.
Orang-orang Makkah
sedang berkempen memburuk-burukkan seorang lelaki yang pernah mereka sanjung
dengan gelaran Al-Amin. Dihujani pelbagai tuduhan dan katakata keji. Walhal
kalimah-kalimah begitu tidak pernah mereka ucapkan kepada lelaki Al-Amin itu
sejak 40 tahun yang lalu.
Abu
Talib berterus terang
Besar sungguh peranan
orang-orang besar Makkah, menjadi penggerak utama perang psikologi itu. Mungkin
saja mereka akan bertindak lebih hebat daripada itu kerana tidak mahu kalah
sekali lagi. Abu Talib tidak berani membayangkan lebih jauh daripada itu. Mahu
tidak mahu dia terpaksa berbuat sesuatu.
“Tadi orang-orang
Quraisy menghantar wakil mereka menemuiku,” Abu Talib memberitahu anak saudaranya yang
baru saja pulang. “Macam-macam yang mereka kata tentang dirimu.”
Berat hati Abu Talib
hendak berterus terang. Dirasakan penjelasannya akan menambah tekanan terhadap anak
saudaranya. Apa yang sedang berlaku di tengah masyarakat Makkah pun sudah
berupa bebanan yang tidak mudah hendak ditanggung. Ke mana pergi akan dilempar
kata nista yang kesat dan menyakitkan hati.
"Abu Talib bingkas
perlahan dengan dengusan nafas yang masih mengendong resah. Tidak mustahil orang-orang
Quraisy akan betul-betul berbuat, bukan sekadar ugutan kosong. Apa yang sedang
berlaku di hadapan mata Abu Talib sudah cukup membuatkan dia tidak senang
duduk".
Bagaimana mungkin dia
tergamak hendak bercerita panjang tentang kedatangan utusan pemuka Quraisy
Makkah tadi. Sayu pandangan Abu Talib menatap wajah insan yang paling disayangi,
berdiri di hadapannya menanti lontaran bicara yang berikutnya. Tak sanggup
menahan perasaan, Abu Talib tunduk seketika.
“Apa yang mereka
sampaikan kepada pak cik?” Abu Talib diaju pertanyaan.
Serasa keras lidah
hendak menutur kata. Tetapi digagahi juga dalam hal keadaan dirinya cukup serba
salah; bercerita Abu Talib dan awal hingga ke akhir. Tidak ada lagi yang
dirahsiakan. Sebak dan terharu sesekali cuba mencelah mengganggu bicara. Namun
dapat ditahan agar tidak menjelma.
“Jagalah dirimu dan
diriku juga. Jangan bebani aku dengan apa yang tidak dapat aku tanggung,” luah
Abu Talib tanpa kerelaan sambil mencari tenungan sepasang mata anak saudaranya.
Mulanya Abu Talib
seperti mengharap ihsan, tetapi bertukar menjadi pemberi perangsang tatkala
mendengar sumpah ikrar anak saudaranya… “Demi Allah, pak cik! Andainya mereka
meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku tinggalkan
pekerjaan ini, tidak akan aku lepaskannya. Sampailah agama ini menang dan
berkembang atau aku yang binasa kerananya.”
Kali ini benar-benar
Abu Talib tidak upaya menahan perasaan melihat air mata bergenang di kelopak mata
anak saudaranya. Bukan marah atau kecewakan Abu Talib, bukan takut atau berasa
lemah, tetapi sedih mengenangkan kejahilan kaum yang terus berkeras tidak mahu
menerima kebenaran.
“Ke mari, nak…” Abu
Talib memanggil penuh hormat dan kasih sayang. “Pergilah dan katakanlah apa
saja yang kau mahu. Demi Tuhan Kaabah! Aku tidak akan serahkan engkau kepada
siapa pun juga untuk selama-lamanya.” ✻
No comments:
Post a Comment