Wednesday 13 February 2013

Seorang Pemuda sebagai Tukaran


Abu Talib bersyair panjang meluahkan segala yang berbuku di dalam dada sambil cuba menarik perhatian rakan-rakan lama yang mula memusuhinya.

Ini semua kerja gila! Tak masuk akal!” bentak Abu Talib, menggigil menahan marah yang naik tiba-tiba. Baginya, orang-orang Quraisy sudah hilang pertimbangan. Sudah tidak tahu lagi bertindak menggunakan pertimbangan akal waras.

“Jangan harap semua ini akan berlaku!” tegasnya lagi. “Kami buat ini untuk kebaikan tuan. Untuk melepaskan tuan daripada masalah.”

Terjegil mata Abu Talib, menujah ke muka lelaki yang berbicara itu. Kata-katanya tak lebih daripada satu penghinaan; menganggap Abu Talib begitu lemah dan tidak boleh berfikir lagi. Sehingga boleh dipujuk dengan begitu mudah sekali.


Saturday 9 February 2013

Bukti Sebuah Kecintaan




(Dedikasi buat seluruh umat Rasulullah SAW)


Pada ungkapan cinta yang dilafazkan
harus ada kejujuran … bukti kecintaan
bukan memada dengan menganyam gurindam
atau indah madah yang bersulam
lalu akhirnya mencuit emosi … saling bertangisan
dalam sayu nestapa yang panjang


bukan juga memada dengan lontaran bicara
yang keras bak bilah-bilah keluli
tajamnya menikam sampai ke dasar hati
lalu akhirnya membakar emosi … saling bertempikan
dilambung gelora kemarahan yang tiada tepian

pada ungkapan cinta yang dilafazkan
menuntut ketulusan … bukti sebuah kecintaan
bukan memada dengan tuturan suara
mainan lidah yang memutar kata

ungkapan cinta yang dilafazkan
biarlah semerbak dengan kepatuhan
tunduk dan akur pada suruhan
demi sebuah kecintaan

… : Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya
maka hendaklah kamu menjauhinya
dan apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya
maka lakukanlah seberapa daya kamu ...”

hentikan bertelagah yang tiada penyudah
marilah kita telusuri jalan sunnah
pusaka agung Baginda Rasulullah SAW
percayalah ... “Seseorang itu akan bersama orang dicintai ...”
moga-moga mencintainya membuka laluan
untuk dicintai oleh-Nya!



Dekat Tetapi Jauh


Melintasi tanah perkuburan, menghadiahi al-Fatihah buat seluruh warganya. Mudah-mudahan mereka beroleh rahmat daripada  Allah SWT. Mereka mendahului kita. Akan sampai masanya giliran kita pula. Itulah ketentuan yang memang sudah menjadi kepastian.

Dari luar, pada pandangan mata kelihatan perkampungan abadi itu sepi dan tenang. Namun situasi di ‘dalamnya’ adakah begitu? Mungkin sahaja wujud ketenangan dan mungkin juga berlaku huru-hara. Bergantunglah pada diri penghuninya sendiri, mengikut banyak sedikitnya bekal yang dibawa.

Zahirnya mereka dekat sahaja dengan kita, hanya beberapa meter di dalam tanah. Namun hakikatnya mereka berada terlalu jauh. Daerah di luar batasan ziarah dan kunjungan. Mereka di alam yang lain. Persinggahan sementara sebelum ke alam akhirat yang kekal abadi.

Ke alam persinggahan itu perlu dengan bekalan yang cukup. Itu sahaja syarat kalau mahu beristirahat dengan aman dan selesa. Tidak ada kompromi atau tawar-menawar. Jauh sekali memilih seteru atau kekasih. Demikian jelas sang kubur ketika jenazah Sayidatina  Fatimah r.ha., puteri kesayangan Rasulullah SAW mahu dimakamkan.



Inilah kubur tuk ayah saya. Dia meninggal dunia pada 4/3/2012.

Segala persiapan dibuat di sini; ketika masih dikandung hayat. Selain taat mematuhi titah perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-Nya, membaca al-Quran sangat dituntut kerana ia akan menerangi dan melapangkan rumah kubur kita nanti. Begitulah besarnya keberkatan daripada ayat-ayat Allah SWT.

Terlalu banyak kebaikan yang diperolehi dengan melazimi membaca al-Quran. Al-Quran mendamaikan resah dan kerisauan. Al-Quran menenangkan gundah dan kesedihan. Al-Quran sumber rahmat dan ketenangan.

Keberkatan dan pahala membacanya juga biasa diniatkan sebagai hadiah kepada sanak keluarga atau sahabat handai yang telah pergi dahulu menghadap Allah SWT. Malah yang paling penting sekali apabila giliran kita pula mendiami rumah tanah. Percaya dan yakinlah bahawa di alam barzakh sana ada nikmat dan ada azab.

Jangan sekali-kali terpengaruh dengan teori atau andaian sesetengah pendapat yang mencari publisiti murahan dengan sengaja menimbulkan keraguan – tidak ada seksa kubur. Jadi, semasa hidup inilah masa untuk menyediakan perbekalan bagi menghindari daripada seksaan tersebut. Antaranya ialah dengan banyak membaca al-Quran.

Rasulullah SAW bersabda, “Surah Tabaarak (al-Mulk) adalah penjaga daripada seksa kubur.”
(Riwayat Hakim daripada Ibnu Mas’ud r.a.)

Di samping mengajar dan merangsang anak-anak supaya rajin membaca al-Quran, sedarkanlah juga mereka perkara ini. Mudah-mudahan kebaikannya kelak akan kita nikmati. Kerana, doa dan hadiah bacaan ayat-ayat suci al-Quran daripada mereka adalah cahaya yang menerangi kegelapan di alam kubur. Tidak pasti sama ada kita akan disambut dengan dakapan atau himpitan.

Friday 8 February 2013

“Andainya Matahari di Tanganku…”


Berat keluhan Abu Talib, berat lagi beban dilema yang sedang ditanggungnya. Tersepit dalam situasi yang amat menyukarkan. Dia perlu memilih satu antara dua – kehendak kaumnya atau kebebasan anak saudaranya. Kalau membangkang, ertinya dia akan mengecewakan sekali lagi kaumnya.

 Dulu mereka pernah menghantar pengaduan melalui 40 orang perwakilan. Namun Abu Talib tidak berdaya memenuhi permintaan, meski dia berjanji akan berbuat sesuatu.

 Dia tahu, golongan terkemuka kaum dan orang-orang bangsawan Arab Makkah tidak akan redha dengan caranya. Berdiam diri tidak akan mengubah apa-apa. Malah menjadikan keadaan semakin tidak terkawal – jumlah penduduk Makkah yang meninggalkan agama nenek moyang mereka semakin bertambah. Dan ia mencetus nestapa yang sangat hebat di dalam dada pemuka-pemuka Quraisy Makkah.

Baru sebentar tadi Abu Talib merasai kehebatan penangan kemarahan dan nestapa itu. Masih belum berganjak lagi dia dari duduknya, cuba menenangkan perasaan yang masih berombak. Cemas dan debar saling bertingkah, membangkitkan getar yang meresahkan. Tak dijangka, begitu sekali marahnya pemuka-pemuka Quraisy.

Meski tidak dalam intonasi suara yang keras atau kurang ajar, kedatangan kali kedua utusan para pembesar Quraisy Makkah menyampaikan keputusan mereka itu cukup membuatkan Abu Talib kelemasan. Tiada tutur yang terlafazkan.

Dia tidak lagi diberi hak memilih; biarkan orang-orang Quraisy menyelesaikan masalah mereka dengan cara sendiri. Kerana Abu Talib ternyata tidak mampu membantu mereka. Abu Talib ternyata terlalu kasih dan sayangkan anak saudaranya. Orang-orang Quraisy tidak perlukan campur tangan Abu Talib lagi.

Tiada lain yang diharapkan oleh Abu Talib selain keselamatan anak saudaranya. Hendaknya apa yang disampaikan kepadanya sekadar ancaman saja. Hendaknya apa yang disampaikan kepadanya hanyalah ugutan saja. Hendaknya rakanrakannya di kalangan para pemuka Quraisy tidak berbuat sepertimana yang mereka ucapkan.

Abu Talib bingkas perlahan dengan dengusan nafas yang masih mengendong resah. Tidak mustahil orang-orang Quraisy akan betul-betul berbuat, bukan sekadar ugutan kosong. Apa yang sedang berlaku di hadapan mata Abu Talib sudah cukup membuatkan dia tidak senang duduk.

Orang-orang Makkah sedang berkempen memburuk-burukkan seorang lelaki yang pernah mereka sanjung dengan gelaran Al-Amin. Dihujani pelbagai tuduhan dan katakata keji. Walhal kalimah-kalimah begitu tidak pernah mereka ucapkan kepada lelaki Al-Amin itu sejak 40 tahun yang lalu.

Abu Talib berterus terang
Besar sungguh peranan orang-orang besar Makkah, menjadi penggerak utama perang psikologi itu. Mungkin saja mereka akan bertindak lebih hebat daripada itu kerana tidak mahu kalah sekali lagi. Abu Talib tidak berani membayangkan lebih jauh daripada itu. Mahu tidak mahu dia terpaksa berbuat sesuatu.

“Tadi orang-orang Quraisy menghantar wakil mereka menemuiku,” Abu Talib memberitahu anak saudaranya yang baru saja pulang. “Macam-macam yang mereka kata tentang dirimu.”

Berat hati Abu Talib hendak berterus terang. Dirasakan penjelasannya akan menambah tekanan terhadap anak saudaranya. Apa yang sedang berlaku di tengah masyarakat Makkah pun sudah berupa bebanan yang tidak mudah hendak ditanggung. Ke mana pergi akan dilempar kata nista yang kesat dan menyakitkan hati.

"Abu Talib bingkas perlahan dengan dengusan nafas yang masih mengendong resah. Tidak mustahil orang-orang Quraisy akan betul-betul berbuat, bukan sekadar ugutan kosong. Apa yang sedang berlaku di hadapan mata Abu Talib sudah cukup membuatkan dia tidak senang duduk".

Bagaimana mungkin dia tergamak hendak bercerita panjang tentang kedatangan utusan pemuka Quraisy Makkah tadi. Sayu pandangan Abu Talib menatap wajah insan yang paling disayangi, berdiri di hadapannya menanti lontaran bicara yang berikutnya. Tak sanggup menahan perasaan, Abu Talib tunduk seketika.

“Apa yang mereka sampaikan kepada pak cik?” Abu Talib diaju pertanyaan.

Serasa keras lidah hendak menutur kata. Tetapi digagahi juga dalam hal keadaan dirinya cukup serba salah; bercerita Abu Talib dan awal hingga ke akhir. Tidak ada lagi yang dirahsiakan. Sebak dan terharu sesekali cuba mencelah mengganggu bicara. Namun dapat ditahan agar tidak menjelma.

“Jagalah dirimu dan diriku juga. Jangan bebani aku dengan apa yang tidak dapat aku tanggung,” luah Abu Talib tanpa kerelaan sambil mencari tenungan sepasang mata anak saudaranya.

Mulanya Abu Talib seperti mengharap ihsan, tetapi bertukar menjadi pemberi perangsang tatkala mendengar sumpah ikrar anak saudaranya… “Demi Allah, pak cik! Andainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku tinggalkan pekerjaan ini, tidak akan aku lepaskannya. Sampailah agama ini menang dan berkembang atau aku yang binasa kerananya.”

Kali ini benar-benar Abu Talib tidak upaya menahan perasaan melihat air mata bergenang di kelopak mata anak saudaranya. Bukan marah atau kecewakan Abu Talib, bukan takut atau berasa lemah, tetapi sedih mengenangkan kejahilan kaum yang terus berkeras tidak mahu menerima kebenaran.

“Ke mari, nak…” Abu Talib memanggil penuh hormat dan kasih sayang. “Pergilah dan katakanlah apa saja yang kau mahu. Demi Tuhan Kaabah! Aku tidak akan serahkan engkau kepada siapa pun juga untuk selama-lamanya.”

Wednesday 6 February 2013

40 Perwakilan Menghadap Abu Talib





Mesyuarat berakhir dengan satu keputusan bersama – hantar perwakilan bertemu Abu  Talib. Campur tangan Abu Talib boleh membantu mengawal keadaan. Sekurang-kurangnya mengubah sedikit senario yang sedang berlaku setiap hari; perkembangan yang sangat membimbangkan.

Kenapa tidak sedari dahulu mereka berbuat sesuatu? Kenapa semasa Abu Lahab sedang bersemangat menunjukkan kegilaannya dahulu, mereka tidak turut ikut serta? Bukan kecil dendam dan benci Abu Lahab sehingga menyuruh kedua-dua anak lelakinya menceraikan isteri masing-masing.

Jangan ada lagi pertalian yang mengikatnya dengan orang yang sudah dianggap musuh, sekalipun anak saudara sendiri. Lebih rela anak-anaknya menduda daripada membiarkan mereka dipengaruhi bapa mentua yang tidak henti-henti menghina dan merendah-rendahkan berhala-berhala sembahan kaumnya.

Sepatutnya demikianlah juga yang mereka buat dahulu. Atau setidak-tidaknya menjadi orang di belakang tabir; baling batu sembunyi tangan. Sekarang setelah kedudukan dan pengaruh tercabar, baru terbelalak mata. Baru terkial-kial hendak bertindak menyekat kemaraan gerakan anak saudara Abu Talib itu.

Tidak banyak yang memberi ulasan semasa komentar pedas ini dibangkitkan dalam sidang mesyuarat. Barangkali menyedari kesilapan sendiri. Tidak menyangka gerakan yang dibuat secara kecil-kecilan kini telah pun mengumpul pengikut yang ramai. Bukan daripada kasta bawahan sahaja, ada juga beberapa orang yang dihormati kedudukannya di kota Makkah.

Terkejut Abu Talib menerima kedatangan tetamu yang ramai, sekitar 40 orang. Abu Jahal bin Hisyam, ‘Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Al-Walid bin Mughirah serta beberapa orang lagi barisan kepimpinan utama pun ada serta.

Dalam sedikit gusar Abu Talib seperti dapat meneka tujuan kunjungan rombongan orang-orang besar itu. Hanya dibiarkan mereka sendiri meluahkan maksud gerangan. Dia sudah bersedia menjadi pendengar setia.

Melalui seorang jurucakap, 40 orang perwakilan Quraisy itu mempersembahkan hajat kepada Abu Talib, “Tuan, anak saudara tuan sudah menghina tuhan-tuhan kami. Mencela agama kami dan merendah-rendahkan pemimpin kami.”

Abu Talib tenang sahaja. Benar telahannya. Rombongan besar itu membawa khabar mengenai anak saudaranya.

“Anak saudara tuan juga mengatakan orang-orang tua kami sesat. Kami minta tuan melakukan satu antara dua; sama ada tuan menegah pekerjaannya itu ataupun tuan biarkan sahaja kami menghadapinya,” sambung jurucakap itu lagi. “Lagipun kami tengok tuan seperti kami juga, tidak mengikuti apa yang dibawanya.”

Kali ini Abu Talib berasa terusik sedikit. Ada berbau ancaman dalam permintaan yang diajukan. Namun dia tidak boleh melatah, meski hatinya tidak suka dengan salah satu daripada dua pilihan yang ditawarkan itu. Mustahil dia tergamak membiarkan anak saudaranya diapa-apakan.

Dalam pertemuan seluruh ahli keluarga Bani Hasyim dan Bani al-Mutalib dahulu, dia telah berjanji akan sentiasa membela dan mempertahankan anak adiknya itu. Malah sudah dianggap sebagai anak sendiri selepas hak penjagaan dipindahkan kepadanya seusia anak saudaranya itu masih kanak-kanak lagi.

Janji yang tidak pasti
“Begini sahajalah, berilah aku sedikit masa untuk menyelesaikan perkara ini dengan Muhammad,” kata Abu Talib, mengambil jalan tengah. “Aku memahami apa kamu rasakan.” 
Permohonan Abu Talib itu dipenuhi meskipun tidak jelas berapa lama waktu harus digunakannya. Hanya disebabkan ada sedikit harapan terselit di celah-celah janji Abu Talib, mereka tidak mahu mendesak. Tunggu dan lihat sahaja.

“Harapnya selepas ini kita tidak perlu susah-susah lagi. Biar Abu Talib yang uruskan,” kata Abul Bakhtari, seorang daripada peserta rombongan yang juga termasuk dalam barisan kepimpinan Makkah, dalam langkahan yang semakin menjauh meninggalkan rumah Abu Talib.

“Belum tahu lagi,” celah Abu Jahal. “Abu Talib sayang sungguh dengan Muhammad. Sanggupkah dia melukakan hati anak saudaranya itu?”
“Aku tidak mahu fikir yang bukan-bukan,” Syaibah bin Rabiah pula menyampuk. Selama ini kita telah terpedaya dengan kebijaksanaan Muhammad.” 

Utbah bin Rabiah menambah,  Aku hanya mahu tengok Makkah kembali seperti dahulu. Harapnya Muhammad tidak lagi menyebarkan agama barunya itu.”

“Ya, begitulah harapnya. Jangan lagi orang-orang Makkah diganggu anak saudara Abu Talib itu. Rasanya aku tidak nampak mereka mahu membenci Muhammad,” tingkah Abu Jahal, merujuk kegagalan usahanya dan rakan-rakannya dalam satu kempen yang digerakkan sebelum itu. Besar belanja yang dilaburkan dalam misi menghasut orang ramai membenci dan memusuhi anak saudara Abu Talib itu.

Kempen digerakkan atas motif mempertahankan agama nenek moyang agar tidak terus dihina dan direndah-rendahkan. Selain banyak juga alasan lain yang dibangkitkan. Malangnya tidak berjaya meraih sokongan seperti diharapkan.

Barangkali orang ramai lebih menilai pada apa yang mereka lihat; peribadi orang yang diburuk-burukkan itu tidak mendorong mereka untuk berasa benci. Begitu juga dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya.

Sukar untuk membenci orang berketrampilan begitu. Lalu, itulah yang kemudiannya membawa terjadinya pertemuan dengan Abu Talib, satu-satunya individu yang dirasakan boleh membantu membebaskan Makkah daripada pengaruh agama baru.

Abu Talib adalah pembela utama dalam setiap langkah anak saudaranya. Abu Jahal yakin, perkiraan kali ini tepat dan pasti berhasil … sekiranya Abu Talib sanggup bertegas dengan orang yang paling disayanginya. Namun sanggupkah dia? tiba-tiba hati kecil Abu Jahal berbisik.

Tuesday 5 February 2013

Suatu Pagi di Bukit Safa


Belum pernah penduduk Makkah dipanggil secara rasmi begitu, maka tentulah ada perkara yang sangat mustahak hendak disampaikan oleh lelaki yang mereka gelar Al-Amin itu.

Kalau orang-orang Arab mula menentang kamu disebabkan Muhammad, hinalah kamu kalau kamu membiarkan sahaja. Tetapi kalau melawan pasti kamu akan kalah!”

Ucapan dilontarkan dengan kekuatan suara yang menyakitkan telinga, tanda kemarahan sedang membuak-buak. Namun sejurus sahaja, suara tempikan itu pantas dibalas dengan seruan yang hampir sama juga nadanya. “Hei! Abu Lahab! Suka sungguh engkau menghina anak saudaramu. Bukankah dia cucu yang paling disayangi ayahmu?” 

Semua tertegun. Tidak menduga ada yang berani menentang. Apatah pula oleh seorang wanita.

“Demi Allah! Semua orang yang tahu telah mengatakan bahawa akan keluar daripada keturunan Abdul Mutalib seorang nabi. Muhammad inilah orangnya.”

“Tidak. Itu cakap-cakap kosong, Safiyah. Cakap orang perempuan,” bangkang Abu Lahab dengan kemarahan yang makin menjadi-jadi. Tercabar egonya apabila saranannya dibantah oleh saudara perempuannya sendiri

“Kalaulah seluruh kaum Quraisy dan semua suku Arab menentangnya, kita tidak ada kekuatan untuk menghadapi mereka,” kata Abu Lahab lagi, terus menghasut khalayak yang ada.

Bukit bersejarah bagi umat manusia

“Demi Allah, wahai Abu Lahab!” tiba-tiba bangkit pula Abu Talib. “Kami akan terus membelanya selama kami masih hidup.” Terkedu Abu Lahab mendengar sumpah ikrar dari mulut abangnya itu. Terasa seakan hilang segala kekuatannya. Tidak sanggup dia hendak bersuara lagi.

* * * * * * * *



Dataran lapang di kaki Bukit Safa dekat Masjidil Haram semakin sesak dengan orang ramai. Sesuatu yang menarik sedang berlaku. Lelaki yang digelar Al-Amin oleh penduduk Makkah kerana kejujuran dan kebenaran kata-katanya mahu bertemu dengan mereka, memanggil seluruh warga Makkah berkumpul di kaki Bukit Safa.

Belum pernah penduduk Makkah dipanggil secara rasmi begitu. Tentu ada perkara yang sangat mustahak hendak disampaikan. Lalu masingmasing tidak mahu ketinggalan menghadirkan diri dalam pertemuan bersejarah itu. Mahu mendengar apakah yang hendak diberitahu oleh ‘Al-Amin’ mereka.

“Ada perkara apa, Muhammad … engkau memanggil kami semua ke mari?” tanya seorang lelaki bertubuh tinggi.

“Wahai Bani Abdul Mutalib! Wahai Bani Fihr! Wahai Bani Lu'ai! Beritahu aku, sekiranya aku katakan kepada kamu ada pasukan berkuda di kaki bukit mahu menyerang kamu, adakah kamu percaya?”*

“Ya. Kami percaya,” jawab orang ramai.

“Kau tidak pernah berdusta,” tambah yang lain pula.  

Sambil menyeluruhi khalayak yang hadir dengan pandangan yang penuh pengharapan,   Nabi Muhammad SAW bersuara, Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku ini adalah rasul yang memberi peringatan kepada kamu sebelum datangnya azab Allah yang maha dahsyat.**

Tercengang semua yang mendengar itu. Langsung tidak faham apa sebenarnya yang dimaksudkan. Belum pernah mereka mendengar ucapan sebegitu. Cukup ganjil. Kecuali segelintir mereka yang telah pun beriman dengan Nabi SAW.

“Wahai Bani Kaab bin Luay! Selamatkan diri kamu daripada neraka. Wahai Bani Murrah! Selamatkan diri kamu daripada neraka. Wahai Bani Abdu Shams! Selamatkan diri kamu daripada neraka. Wahai Bani Hasyim! Selamatkan diri kamu daripada neraka. Wahai Bani Abdul Mutalib! Selamatkan diri kamu daripada neraka.***

“Wahai Fatimah binti Muhammad! Selamatkan diri kamu daripada neraka. Sesungguhnya aku tiada memiliki sebarang kuasa untuk membelamu daripada azab Allah. Melainkan kamu mempunyai tali persaudaraan (Islam) yang aku kuatkan hubungan itu.”****

“Hei! Adakah untuk ini engkau mengumpulkan kami?” Satu tempikan kuat memecahkan suasana. Seorang lelaki dengan wajah yang sarat dengan kemarahan melangkah masuk ke tengah majlis dan terus ke depan, mahu mendapatkan Nabi Muhammad SAW. 

“Binasalah engkau sepanjangpanjang hari ini!” kutuknya dengan keras sambil menunjal-nunjalkan tangannya ke arah Nabi Muhammad SAW. Tidak menghiraukan orang ramai yang memandangnya dengan pandangan hairan dan terkejut. Malah dengan renungan kemarahan sekali pun.

Terdiam Nabi ditengking begitu. Tidak menyangka baginda akan dimarahi sampai begitu sekali. Bukan orang lain tetapi bapa saudara baginda sendiri, Abu Lahab. Penentangan Abu Lahab kali ini lebih hebat lagi daripada yang telah dilakukannya dalam dua pertemuan keluarga tempoh hari. 

Selepas kejadian yang menyayat hati itu, turunlah firman Allah iaitu surah al-Lahab yang mengutuk tindakan Abu Lahab. Turut terkena kutukan itu ialah isteri Abu Lahab yang digelar Ummu Jamil. Bertambah-tambah kemarahan dan kebencian Abu Lahab kepada anak saudaranya. 

* Bukhari Muslim ** Bukhari Muslim *** Sahih Muslim **** Bukhari Muslim

Wednesday 30 January 2013

HIJRAH: Yasrib Pilihan Allah


Hijrah yang pertama tahun 5 kenabian sekadar memberi ruang lebih kurang dua bulan saja menikmati kebebasan beragama. Itupun hanya untuk 15 orang Sahabat lelaki dan wanita yang sempat membawa diri keluar dari Makkah sebelum menyeberangi Laut Merah menuju ke Habsyah.

Bertambah jumlah itu kemudiannya menjadi 33 orang. Namun propaganda kafir Quraisy Makkah menyebar berita kononnya situasi di Makkah sudah aman, menggoda rasa mahu pulang para perantau di bumi Habsyah. Sampai di Makkah, sedarlah mereka bahawa orang-orang Quraisy cuba memperdaya dan memerangkap mereka.

Awal tahun 7 kenabian, kaum Muslimin berhijrah lagi. Rasul s.a.w. masih memilih Habsyah sebagai destinasi kerana rajanya yang baik, tidak membenarkan orang menganiayai orang lain. Tambahan pula di sana ada sekelompok orang Islam yang sempat melarikan diri semula selepas pulang dahulu.

Thursday 24 January 2013

Tangkap Muhammad!


Riak muka Kota Makkah belum menampakkan reaksi mencurigakan, meski semakin ramai warganya yang menukar kepercayaan. Barangkali belum begitu menyedarinya lagi lantaran taktik seruan yang masih bergerak secara senyap dan rahsia, tidak banyak menimbulkan masalah.

Sebaliknya lebih memberi kesedaran serta membuka ruang diskusi mencari kejelasan sebelum membuat keputusan. Dan keputusan adalah dengan rela hati, tanpa keraguan atau kesangsian lagi – Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa engkau wahai Muhammad adalah Rasul utusan Allah!

Nabi s.a.w. melihat satu perkembangan yang penuh rahmat. Dakwah begitu cepat tersebar kerana semua orang mahu turut berperanan. Tauhid yang baru saja tumbuh di dalam hati, cuba ditumbuhkan pula di dalam hati rakan terdekat atau ahli kerabat.

Wednesday 23 January 2013

Selepas Pertabalan


Dialah orang yang pertama sekali dikunjungi Nabi Muhammad s.a.w. selepas peristiwa besar di Gua Hira’.

Selimutkan aku. Selimutkan aku,” seru Nabi Muhammad s.a.w. Seluruh anggotanya menggigil diserang seram sejuk. Belum pernah baginda mengalami pengalaman yang sedemikian aneh. Hingga terpaksa meminta bantuan orang lain untuk menenangkannya.

Sayidatina Khadijah r.ha mengambil sehelai selimut tebal lalu menyelimutkan suaminya itu.

Dia duduk di sisi suaminya, menemani hingga suaminya pulih kembali. Mengusap-ngusap bahu suaminya dengan penuh kasih. Nabi Muhammad s.a.w. menyandarkan tubuhnya ke dada isteri baginda yang sangat setia lagi penyayang itu. Setelah agak tenang, Nabi Muhammad s.a.w. pun menceritakan peristiwa yang berlaku di Gua Hira’ tadi. Sayidatina Khadijah mendengar penuh minat dan teliti. Tetapi sedikit pun tidak terlihat pada raut wajah Sayidatina Khadijah tanda-tanda cemas atau terkejut, walaupun apa yang dilalui oleh suaminya itu sangat luar biasa.



Sebagai isteri, Sayidatina Khadijah faham benar tugas dan peranannya.  Dia tidak boleh turut menampakkan kebimbangannya.  Sebaliknya mesti bertindak bijaksana dengan bersikap tenang bagi mengawal keadaan.
Sekali gus membantu memulihkan semula semangat dan kekuatan jiwa suaminya. Itulah yang dilakukannya.

“Aku cemas tentang diriku ini,” kata Nabi Muhammad sambil berpaling mencari wajah isteri baginda.

“Tidak,” jawab Sayidatina Khadijah r.ha, tersenyum. “Demi Allah… Dia tidak akan menghinakan tuan kerana tuan orang yang suka menghubungkan silaturrahim, membantu orang yang susah, memberi makan tetamu, menolong anak-anak yatim dan suka membuat kerja-kerja kebajikan.”

Tersungging senyuman Nabi Muhammad mendengar kata-kata itu. Serasa semangat kuat kembali. Melihat keadaan suaminya yang seperti keletihan, Sayidatina Khadijah mengerti apa yang harus dilakukan. Dibiarkan suaminya meredakan kepenatan dalam istirahat. Tak ada apa yang hendak didesak.

Sementara Nabi Muhammad s.a.w. berehat, Sayidatina Khadijah r.ah ke rumah Waraqah bin Naufal, seorang tua penganut agama Nasrani. Waraqah mahir tentang agamanya. Dia banyak membaca dan mengkaji kitab-kitab agama Nasrani. Mungkin Waraqah lebih tahu tentang peristiwa yang baru berlaku ke atas diri Nabi Muhammad. Sebagai penganut agama Nasrani yang berpegang kuat pada kitabkitab suci agamanya, Waraqah tidak ketinggalan mengikuti perkembangan bahawa akan munculnya seorang nabi lagi selepas Nabi Isa a.s. Nabi itu adalah nabi yang terakhir. Semua perkhabaran mengenainya sudah diberitahu di dalam kitab-kitab suci Nasrani.

Sayidatina Khadijah tidak berasa keberatan hendak menceritakan segala yang dilalui suaminya kerana Waraqah adalah sepupunya sendiri. Perkara yang ingin sangat ditanyakan kepada Waraqah ialah berkenaan seruan yang didengari oleh suaminya sewaktu keluar dari Gua Hira’. Kata suaminya, dia mendengar suara berseru, “Wahai Muhammad! Engkau adalah Rasul Allah, dan aku adalah Jibril.”

Nabi Muhammad s.a.w. mendongak ke langit. Baginda melihat Malaikat Jibril a.s. dalam rupa seorang lelaki sedang berdiri. Kedua-dua belah kakinya di ufuk langit. Malaikat Jibril berseru sekali lagi dengan seruan yang sama. Apabila Nabi Muhammad berpaling ke arah lain, baginda tetap juga melihat Malaikat Jibril. Ke mana saja Nabi Muhammad menoleh, di situ ada Malaikat Jibril. 

“Yang datang menemui suamimu itu adalah malaikat. Malaikat yang sama menemui Nabi Musa,” jelas Waraqah dengan wajah yang berseriseri berseriseri sebaik saja Sayidatina Khadijah selesai bercerita. “Muhammad akan menjadi nabi bagi umat kita. Beritahu kepadanya supaya bertenang.” Sejurus Waraqah tertunduk menahan perasaan yang bergetar di dalam dada. Gembira, sebak dan terharu. Nabi akhir zaman yang disebut-sebutkan di dalam kitab-kitab suci Nasrani sedang berada di dalam lingkungan keluarganya sendiri. Nabi itu menjadi suami kepada sepupunya, Sayidatina Khadijah r.ha.

Cuma sayang sekali, Waraqah tidak berpeluang menatap wajah insan mulia pilihan Allah itu. Jika sekadar keadaan fizikalnya yang sudah tua dan semakin uzur, dia tetap berusaha menggagahkan dirinya pergi bertemu Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi Waraqah cacat penglihatan. Tidak dapat melihat apa-apa.

“WARAQAH MENCIUM DI TENGAH-TENGAH KEPALA NABI MUHAMMAD S.A.W. BERGENANG AIR MATA KEGEMBIRAANNYA. ORANG YANG DITUNGGU-TUNGGU SELAMA INI TELAH PUN DITEMUINYA.”


Sayidatina Khadijah seperti dapat memahami perasaan sepupunya itu. Dia pulang untuk memberitahu suaminya perkara penting yang baru diterimanya dari Waraqah. Dan mengajak suaminya datang bertemu Waraqah. Tentu banyak lagi perkara yang hendak dicakapkan oleh Waraqah.

Kedatangan semula Sayidatina Khadijah bersama suaminya disambut oleh Waraqah dengan kegembiraan. Cukup bertuah kerana Nabi Muhammad datang ke rumahnya. Dialah orang yang pertama sekali dikunjungi oleh Nabi Muhammad s.a.w. selepas baginda ditabalkan dengan rasminya menjadi Rasul Allah.

“Demi Allah yang memegang nyawaku, kamulah nabi umat ini. Yang datang kepadamu ialah malaikat yang telah datang kepada Musa,” Waraqah mengulangi keterangan yang telah disampaikan kepada Sayidatina Khadijah, selepas mendengar semula cerita dari mulut Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Puas rasanya dapat mendengar dari mulut yang empunya diri.

“Tuan pasti akan didustakan orang. Tuan pasti akan disakiti orang. Tuan pasti akan diusir orang dan tuan pasti akan diperangi mereka,” sambungnya lagi. Tetapi nada ucapannya itu tidak lagi ceria dan bersemangat. Lebih berbaur kesedihan.

“Apakah saya akan diusir?” tanya Nabi Muhammad s.a.w.

“Ya. Kalaulah ditakdirkan aku masih hidup pada masa itu, aku akan menolongmu dengan pertolongan yang sesungguh-sungguhnya,” kata Waraqah sambil tertunduk menahan sebak. Terasa sayu hatinya mengenangkan Nabi Muhammad yang akan dimusuhi oleh kaumnya sendiri kelak.

Di celah-celah kejahilan muncul seorang juara


Perlahan-lahan Waraqah mendekati Nabi Muhammad, menyuruh baginda tunduk sedikit. Lalu Waraqah mencium di tengah-tengah kepala Nabi Muhammad s.a.w. Bergenang air mata kegembiraannya. Orang yang ditunggu-tunggu selama ini telah pun ditemuinya. Dan dialah orang yang pertama mencium kepala insan mulia itu.


Tuesday 22 January 2013

Pengenalan

Selamat datang kepada pembaca sekalian.

Halaman ini adalah halaman di mana saya akan mencurah idea dan pelbagai tip menarik berkenaan dunia buku dan penerbitan.

Mohon jadi kawan saya di blog ini.

Dapatkan buku ini di pasaran

Pastikan anda mempunyai logo ini


Sekian.