Wednesday 13 February 2013

Seorang Pemuda sebagai Tukaran


Abu Talib bersyair panjang meluahkan segala yang berbuku di dalam dada sambil cuba menarik perhatian rakan-rakan lama yang mula memusuhinya.

Ini semua kerja gila! Tak masuk akal!” bentak Abu Talib, menggigil menahan marah yang naik tiba-tiba. Baginya, orang-orang Quraisy sudah hilang pertimbangan. Sudah tidak tahu lagi bertindak menggunakan pertimbangan akal waras.

“Jangan harap semua ini akan berlaku!” tegasnya lagi. “Kami buat ini untuk kebaikan tuan. Untuk melepaskan tuan daripada masalah.”

Terjegil mata Abu Talib, menujah ke muka lelaki yang berbicara itu. Kata-katanya tak lebih daripada satu penghinaan; menganggap Abu Talib begitu lemah dan tidak boleh berfikir lagi. Sehingga boleh dipujuk dengan begitu mudah sekali.


“Kamu datang kepadaku membawa anak kamu supaya aku beri makan kepadanya. Dan aku serahkan anakku kepada kamu untuk dibunuh. Apa semua ni?”

“Tuan ambillah pemuda ini menjadi anak tuan, menggantikan anak saudara tuan itu. Dia ini pemuda yang paling kacak, tampan dan gagah di kalangan pemuda Quraisy yang ada di Makkah,” kata seorang yang lain pula. “Tuan berhak menuntut diat (gantirugi)sekiranya dia terbunuh.” Mahu saja Abu Talib bertempik sekuat hatinya. Tapi dia masih ada harga diri selaku orang yang dihormati. Walaupun cukup berang dengan apa yang sedang dilakukan oleh kaumnya, Abu Talib berusaha agar tidak hilang pertimbangan.

Al-Walid bin al-Mughirah datang bersama beberapa orang kawannya membawa seorang pemuda tampan bernama Umarah bin al-Walid. Sedari mula Abu Talib tidak dapat meneka maksud kedatangan, melainkan tahu ia mengenai anak saudaranya. Itu kali yang ketiga pembesar-pembesar Quraisy Makkah menghantar wakil bertemu dengannya.

Abu Talib yang asalnya bersedia untuk mendengar usul yang dibawa tiba-tiba jadi tidak tenteram sebaik saja mengetahui maksud kedatangan. Abu Talib tidak upaya lagi berlagak tenang, sedang di dalam dadanya bergelora rasa geram, marah, benci dan kecewa. Tergamak kaumnya bertindak sampai begitu.

“Kami tidak mahu bermusuhan dengan tuan. Kami cuba menyedarkan tuan mana yang baik dan mana yang tidak baik,” Muth’aim bin ‘Adi, seorang tokoh Quraisy yang dihormati kerana berfikiran terbuka dan boleh diajak berkira bicara cuba mempengaruhi Abu Talib.
Ladang unta di Hudaibiah.
“Mereka bersusah payah hendak menolong tuan, melepaskan tuan daripada keadaan yang semakin sukar ini. Tetapi nampaknya tuan tidak mahu menerima satu apa pun yang kami bawa,” kata Muth’aim lagi.

“Kamu semua tidak pernah menyedarkan aku,” bantah Abu Talib. “Sebaliknya bekerja keras utuk menghinaku. Sekarang buatlah apa yang kamu semua nak buat. Aku tak akan menyokongnya!” “Baiklah, sekarang kami mengerti di mana tuan berdiri,” kata al-Walid pula, seperti membuat kesimpulan. “Kita tidak perlu berunding lagi.”

Bibit-bibit perkelahian
Cukup berat sebenarnya Abu Talib hendak menerima keputusan itu. Tetapi dia tidak mahu tunduk merayu. Kelak semakin mencanak ego dan kesombongan orang-orang yang memusuhi anak saudaranya itu. Pasti dia akan terus didesak dengan pelbagai muslihat yang bukan-bukan. Abu Talib tidak mahu berselindung lagi.

Berpegang pada janji dan tekadnya sejak dulu, dia akan sentiasa melindungi anak saudaranya selagi terdaya. Janji dan tekad itu baru saja dihadapkan dengan sedikit ujian pembukaan menilai ketulusan serta keteguhannya. Bakal menyusul nanti ujian-ujian berikutnya yang pasti lebih keras dan mencabar.

Sudah ada petunjuknya; situasihangat mula membenihkan bibit-bibit perkelahian. Orang-orang Quraisy tidak ragu-ragu lagi menggunakan kekerasan, bukan sekadar lidah lagi. Mereka sudah punya alasan berbuat begitu. Apatah lagi Abu Talib menganggap apa yang mereka buat adalah menghinanya.

Tidak boleh mengubah keadaan, Abu Talib berusaha membina kekuatan di dalam dirinya. Tak boleh lagi bersandarkan kedudukannya sebagai ketua kaum; orang-orang Makkah sudah berlepas tangan dengannya. Sekarang bukan saja anak saudaranya terdedah kepada bahaya, malah kaum kerabat Bani Hasyim juga.

Di dalam Kaabah, Abu Talib bersyair panjang meluahkan segala yang terbuku di dalam dada sambil cuba menarik perhatian rakan-rakan lama yang mula memusuhinya…

“Aku lihat kaumku tiada lagi menaruh
kasih sayang.
Mereka telah memutuskan segala ikatan
dan hubungan.
Aku lihat mereka telah berterus-terang
menyatakan permusuhan kepada kita
Kiranya mereka telah terpengaruh oleh
musuh-musuh kita yang lama.
Aku lihat kaumku telah bersatu dengan
golongan yang memang tidak baik
hatinya kepada kami.
Yang selalu menggigit jari kerana
amarah hatinya.
Aku telah bersabar dengan segala
ketenangan serta hati yang bersih.
Aku telah mengundang keluargaku hadir
di Baitullah.
Mengikat tali persatuan yang amat
kukuh.
Bersatu menghadapi segala
kemungkinan.
Aku bermohon perlindungan Tuhan
terhadap setiap orang.
Yang berniat jahat kepada kami.
Atau yang hendak menegakkan sesuatu
yang tidak benar!”

Tuan ambillah pemuda ini menjadi anak tuan, menggantikan anak saudara tuan itu. Dia ini pemuda yang paling kacak, tampan dan gagah di kalangan pemuda Quraisy yang ada di Makkah.

No comments:

Post a Comment