Saturday 9 February 2013

Dekat Tetapi Jauh


Melintasi tanah perkuburan, menghadiahi al-Fatihah buat seluruh warganya. Mudah-mudahan mereka beroleh rahmat daripada  Allah SWT. Mereka mendahului kita. Akan sampai masanya giliran kita pula. Itulah ketentuan yang memang sudah menjadi kepastian.

Dari luar, pada pandangan mata kelihatan perkampungan abadi itu sepi dan tenang. Namun situasi di ‘dalamnya’ adakah begitu? Mungkin sahaja wujud ketenangan dan mungkin juga berlaku huru-hara. Bergantunglah pada diri penghuninya sendiri, mengikut banyak sedikitnya bekal yang dibawa.

Zahirnya mereka dekat sahaja dengan kita, hanya beberapa meter di dalam tanah. Namun hakikatnya mereka berada terlalu jauh. Daerah di luar batasan ziarah dan kunjungan. Mereka di alam yang lain. Persinggahan sementara sebelum ke alam akhirat yang kekal abadi.

Ke alam persinggahan itu perlu dengan bekalan yang cukup. Itu sahaja syarat kalau mahu beristirahat dengan aman dan selesa. Tidak ada kompromi atau tawar-menawar. Jauh sekali memilih seteru atau kekasih. Demikian jelas sang kubur ketika jenazah Sayidatina  Fatimah r.ha., puteri kesayangan Rasulullah SAW mahu dimakamkan.



Inilah kubur tuk ayah saya. Dia meninggal dunia pada 4/3/2012.

Segala persiapan dibuat di sini; ketika masih dikandung hayat. Selain taat mematuhi titah perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-Nya, membaca al-Quran sangat dituntut kerana ia akan menerangi dan melapangkan rumah kubur kita nanti. Begitulah besarnya keberkatan daripada ayat-ayat Allah SWT.

Terlalu banyak kebaikan yang diperolehi dengan melazimi membaca al-Quran. Al-Quran mendamaikan resah dan kerisauan. Al-Quran menenangkan gundah dan kesedihan. Al-Quran sumber rahmat dan ketenangan.

Keberkatan dan pahala membacanya juga biasa diniatkan sebagai hadiah kepada sanak keluarga atau sahabat handai yang telah pergi dahulu menghadap Allah SWT. Malah yang paling penting sekali apabila giliran kita pula mendiami rumah tanah. Percaya dan yakinlah bahawa di alam barzakh sana ada nikmat dan ada azab.

Jangan sekali-kali terpengaruh dengan teori atau andaian sesetengah pendapat yang mencari publisiti murahan dengan sengaja menimbulkan keraguan – tidak ada seksa kubur. Jadi, semasa hidup inilah masa untuk menyediakan perbekalan bagi menghindari daripada seksaan tersebut. Antaranya ialah dengan banyak membaca al-Quran.

Rasulullah SAW bersabda, “Surah Tabaarak (al-Mulk) adalah penjaga daripada seksa kubur.”
(Riwayat Hakim daripada Ibnu Mas’ud r.a.)

Di samping mengajar dan merangsang anak-anak supaya rajin membaca al-Quran, sedarkanlah juga mereka perkara ini. Mudah-mudahan kebaikannya kelak akan kita nikmati. Kerana, doa dan hadiah bacaan ayat-ayat suci al-Quran daripada mereka adalah cahaya yang menerangi kegelapan di alam kubur. Tidak pasti sama ada kita akan disambut dengan dakapan atau himpitan.

No comments:

Post a Comment