Friday 8 February 2013

“Andainya Matahari di Tanganku…”


Berat keluhan Abu Talib, berat lagi beban dilema yang sedang ditanggungnya. Tersepit dalam situasi yang amat menyukarkan. Dia perlu memilih satu antara dua – kehendak kaumnya atau kebebasan anak saudaranya. Kalau membangkang, ertinya dia akan mengecewakan sekali lagi kaumnya.

 Dulu mereka pernah menghantar pengaduan melalui 40 orang perwakilan. Namun Abu Talib tidak berdaya memenuhi permintaan, meski dia berjanji akan berbuat sesuatu.

 Dia tahu, golongan terkemuka kaum dan orang-orang bangsawan Arab Makkah tidak akan redha dengan caranya. Berdiam diri tidak akan mengubah apa-apa. Malah menjadikan keadaan semakin tidak terkawal – jumlah penduduk Makkah yang meninggalkan agama nenek moyang mereka semakin bertambah. Dan ia mencetus nestapa yang sangat hebat di dalam dada pemuka-pemuka Quraisy Makkah.

Baru sebentar tadi Abu Talib merasai kehebatan penangan kemarahan dan nestapa itu. Masih belum berganjak lagi dia dari duduknya, cuba menenangkan perasaan yang masih berombak. Cemas dan debar saling bertingkah, membangkitkan getar yang meresahkan. Tak dijangka, begitu sekali marahnya pemuka-pemuka Quraisy.

Meski tidak dalam intonasi suara yang keras atau kurang ajar, kedatangan kali kedua utusan para pembesar Quraisy Makkah menyampaikan keputusan mereka itu cukup membuatkan Abu Talib kelemasan. Tiada tutur yang terlafazkan.

Dia tidak lagi diberi hak memilih; biarkan orang-orang Quraisy menyelesaikan masalah mereka dengan cara sendiri. Kerana Abu Talib ternyata tidak mampu membantu mereka. Abu Talib ternyata terlalu kasih dan sayangkan anak saudaranya. Orang-orang Quraisy tidak perlukan campur tangan Abu Talib lagi.

Tiada lain yang diharapkan oleh Abu Talib selain keselamatan anak saudaranya. Hendaknya apa yang disampaikan kepadanya sekadar ancaman saja. Hendaknya apa yang disampaikan kepadanya hanyalah ugutan saja. Hendaknya rakanrakannya di kalangan para pemuka Quraisy tidak berbuat sepertimana yang mereka ucapkan.

Abu Talib bingkas perlahan dengan dengusan nafas yang masih mengendong resah. Tidak mustahil orang-orang Quraisy akan betul-betul berbuat, bukan sekadar ugutan kosong. Apa yang sedang berlaku di hadapan mata Abu Talib sudah cukup membuatkan dia tidak senang duduk.

Orang-orang Makkah sedang berkempen memburuk-burukkan seorang lelaki yang pernah mereka sanjung dengan gelaran Al-Amin. Dihujani pelbagai tuduhan dan katakata keji. Walhal kalimah-kalimah begitu tidak pernah mereka ucapkan kepada lelaki Al-Amin itu sejak 40 tahun yang lalu.

Abu Talib berterus terang
Besar sungguh peranan orang-orang besar Makkah, menjadi penggerak utama perang psikologi itu. Mungkin saja mereka akan bertindak lebih hebat daripada itu kerana tidak mahu kalah sekali lagi. Abu Talib tidak berani membayangkan lebih jauh daripada itu. Mahu tidak mahu dia terpaksa berbuat sesuatu.

“Tadi orang-orang Quraisy menghantar wakil mereka menemuiku,” Abu Talib memberitahu anak saudaranya yang baru saja pulang. “Macam-macam yang mereka kata tentang dirimu.”

Berat hati Abu Talib hendak berterus terang. Dirasakan penjelasannya akan menambah tekanan terhadap anak saudaranya. Apa yang sedang berlaku di tengah masyarakat Makkah pun sudah berupa bebanan yang tidak mudah hendak ditanggung. Ke mana pergi akan dilempar kata nista yang kesat dan menyakitkan hati.

"Abu Talib bingkas perlahan dengan dengusan nafas yang masih mengendong resah. Tidak mustahil orang-orang Quraisy akan betul-betul berbuat, bukan sekadar ugutan kosong. Apa yang sedang berlaku di hadapan mata Abu Talib sudah cukup membuatkan dia tidak senang duduk".

Bagaimana mungkin dia tergamak hendak bercerita panjang tentang kedatangan utusan pemuka Quraisy Makkah tadi. Sayu pandangan Abu Talib menatap wajah insan yang paling disayangi, berdiri di hadapannya menanti lontaran bicara yang berikutnya. Tak sanggup menahan perasaan, Abu Talib tunduk seketika.

“Apa yang mereka sampaikan kepada pak cik?” Abu Talib diaju pertanyaan.

Serasa keras lidah hendak menutur kata. Tetapi digagahi juga dalam hal keadaan dirinya cukup serba salah; bercerita Abu Talib dan awal hingga ke akhir. Tidak ada lagi yang dirahsiakan. Sebak dan terharu sesekali cuba mencelah mengganggu bicara. Namun dapat ditahan agar tidak menjelma.

“Jagalah dirimu dan diriku juga. Jangan bebani aku dengan apa yang tidak dapat aku tanggung,” luah Abu Talib tanpa kerelaan sambil mencari tenungan sepasang mata anak saudaranya.

Mulanya Abu Talib seperti mengharap ihsan, tetapi bertukar menjadi pemberi perangsang tatkala mendengar sumpah ikrar anak saudaranya… “Demi Allah, pak cik! Andainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku tinggalkan pekerjaan ini, tidak akan aku lepaskannya. Sampailah agama ini menang dan berkembang atau aku yang binasa kerananya.”

Kali ini benar-benar Abu Talib tidak upaya menahan perasaan melihat air mata bergenang di kelopak mata anak saudaranya. Bukan marah atau kecewakan Abu Talib, bukan takut atau berasa lemah, tetapi sedih mengenangkan kejahilan kaum yang terus berkeras tidak mahu menerima kebenaran.

“Ke mari, nak…” Abu Talib memanggil penuh hormat dan kasih sayang. “Pergilah dan katakanlah apa saja yang kau mahu. Demi Tuhan Kaabah! Aku tidak akan serahkan engkau kepada siapa pun juga untuk selama-lamanya.”

No comments:

Post a Comment